24/01/2012

Kiamat & Mahsyar


ihsan google

Semua yang ada di bumi itu akan binasa. Dan tetap kekal Zat Tuhanmu yang mempunyai kebesaran dan Kemuliaan ( Surah Ar-Rahman ayat 26-27 ) 

Alam luas ciptaan Allah SWT akan menempuh saat kemusnahannya, lihatlah tumbuh-tumbuhan yg menghijau di sekeliling kita akhirnya akan kuning layu, bebunga yg kembang akan gugur dari kelopaknya, besi akan karat dan menjadi reput meskipun kepejalan dan kekerasannya tidak diragui, makanan dan lauk-pauk yg segar akan basi, anak-anak remaja akan pudar kejelitaan dan ketampanannya dimamah oleh usia tua, akhirnya ajal pun tiba. Semua itu adalah unsur-unsur kiamat kecil yg sentiasa berlaku di sekeliling kita. 


supernova, the death of a planet
Situasi demikian merupakan satu perkhabaran awal bahawa kemusnahan sebenar akan berlaku kepada seluruh ciptaan Allah. Iaitu alam buana dan seluruh gawang cakerawala yg dipenuhi berbilion keluarga planet, akan menemui ajalnya pada satu detik yg dinamakan kiamat. Tiada satupun yg terkecuali selain yg kekal hanya Allah yang Maha Pencipta yg menetapkan tarikh akhir segala ciptaanNya. 

Bumi walaupun kelihatan begitu gagah dengan bebatu pejal serta gunung-ganang terhujam kukuh ke dasar bumi, namun ia bukanlah satu jaminan untuk selamanya ia berdiri teguh. Akhirnya, gunung-ganang yg hebat itu pasti jua tunduk dengan kedatangan saat yg Maha Dasyat iaitu, kiamat. Kiamat bererti musnahnya seluruh sistem alam yg diciptakan oleh Allah SWT yg selama ini berjalan mengikut ketentuanNya. Tidak suatu pun pertembungan berlaku kepada semua objek yg beredar di angkasa raya sebelum tibanya saat itu. Lihatlah betapa agung kuasa Allah, belum pernah di laporkan dalam mana-mana akhbar mahupun media elektronik yg lain tentang perlanggaran planet dengan sebarang objek di angkasa nun jauh di sana pada detik ini. Namun, jika Allah menyatakan 'kunfayakun' maka sekelip mata sahaja segala benda yg tidak terjangkau dek kewarasan akal manusia bakal terjadi.

Langit yg terlalu jauh dari jangkauan tatapan manusia, yg tidak diketahui apakah jenis logam yg membuatkan kepejalannya begitu kukuh, malah tidak pernah terbayang oleh akal manusia bagaimana bentuk dan kehebatannya. Namun Kiamat akan mengakhiri semua kekebalan dan kepejalan serta kekerasan si peneduh bumi yg sekian lama berbakti pada kita.

Firman Allah di dalam surah Al-Infithar ayat 1-4 yg bermaksud :

“Apabila langit terbelah dan apabila bintang-bintang jatuh berserakan dan apabila lautan dijadikan( berombak raksasa) meluap dan apabila kuburan-kuburan terbongkar” 

FirmanNya lagi dalam surah Az-Zalzalah ayat 1-5 yang bermaksud :

“Apabila bumi digoncangkan dgn goncangan (yg dasyat), dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yg dikandungi)nya, dan manusia bertanya : “ Mengapa bumi (jadi begini) ?, Pada hari itu bumi menceritakan beritanya, kerana sesungguhnya Tuhanmu memerintahkan (yg demikian itu) padanya” 

Kiamat tidak dapat  dibayangkan dgn apa pun jua, kerana manusia tidak ada pengalaman sebelumnya walaupun bumi ini pernah dihancurkan dan diterbalikkan buminya seperti yg berlaku kepada bumi yg dihuni oleh kaum Nabi Luth. Demikian juga penduduk kota Hiroshima dan Nagasaki yg pernah menyaksikan kehancuran kedua kota itu oleh ledakan bom atom ketika perang dunia kedua dahulu. Namun kesemuanya bukanlah bandingan kepada kiamat. 


mampukah kita bertahan dengan keadaan sebegini? :(


Di dalam kitab Ihya Ulumuddin juzuk yg ke 4 mengandungi perkara yg jauh dari pandangan manusia disebut sebagai “Rubu’al-Muhlikat”. Imam Al-Ghazali menjelaskan tentang manusia yg telah dibangkitkan dari kubur-kubur mereka selepas tiupan ‘Sangkakala’ yg kedua. Kebangkitan manusia yg mati sejak zaman Nabi Adam sehingga manusia terakhir selepas alam buana dikiamatkan dan dipertemukan semula sekalian roh dengan jasad yg baru.

Manusia apabila dibangkitkan, sudah pasti ia memerlukan satu hamparan bumi untuk berpijak, adakah bumi mahsyar tempat manusia dihimpunkan itu sama dengan bumi yg ada sekarang? Maka dalam kitab Ihya Ulumuddin juzuk yg ke 4, Imam Al-Ghazali menghuraikan tentang satu dataran bumi yang maha luas, saujana mata memandang. Keadaan buminya yg dapat dijadikan tempat berteduh di sebalik bayangnya atau lurah bergaung dan bergua yg boleh dijadikan tempat kediaman.

Pada dataran putih yg maha luas itulah manusia yg baru akan dibangkitkan dan semuanya akan dihalau ke sana seperti binatang ternakan yg dihalau keluar dari kandang.

Seluruh manusia dihimpunkan di bumi mahsyar yg rata itu, tiba-tiba menjadi gempar apabila Allah Yg Maha Berkuasa telah memadamkan pelita matahari, dan menjadikan dataran mahsyar itu gelap gelita. Ketika itulah manusia bersesak-sesak dan bertumpang tindih di dalam suasana hingar bingar dan gelap pekat. Tiba-tiba langit yg berada di atas kepala mereka retak dan kemudiannya menjadi pecah berderai. Kehancuran langit itu berjalan kira-kira lima ratus tahun mengikut kiraan akhirat. MasyaAllah. Sukar digambarkan nasib kita semua ketika itu. :(

Tak terbayang rasanya betapa dasyat kehidupan manusia di dataran mahsyar yg mendengar setiap masa bunyi langit yg pecah berderai. Jika ukuran bunyi suara langit yg pecah diandaikan seperti suatu logam yg nipis dan lembut tentulah bunyinya tidak sekuat mana.

Namun, jika sebaliknya logam yg nipis dan lembut itu diganti dengan langit yg keluasannya tidak dapat diukur dengan sebarang jenis ukuran manusia sama ada ukuran metrik atau lainnya, termasuk juga ketebalannya tentulah tidak ada walau satu pun telinga manusia yg sanggup menahan bunyi yg gegak gempita tersebut. :(

Dan kemudiannya, setelah langit hancur berderai, pecahan dan rekahan langit itu tiba-tiba menjadi cair seperti besi yg dibakar di dalam relau yg menjadi cair dek kepanasan yg terlalu dasyat. Jika kita melihat lahar gunung berapi mengalir di lereng gunung pada waktu malam dengan warna merah menyala,tentunya kita akan merasa gerun. Apatah lagi bila mana langit yg keluasannya hanya Allah saja yg mengetahui lalu menjadi cair seperti lahar, dan kemudian cecair yg merah menyala itu mengalir kedataran bumi yg dipenuhi manusia yg sedang dihimpunkan. Terlalu sulit bagi kita sebagai manusia untuk membayangkan betapa dasyat dan cemasnya situasi ketika itu. Jika kita berjalan di atas tar yg panas pada waktu tengah hari tanpa memakai alas kaki, tentunya habis tapak kaki kita melecur, tetapi cuba bayangkan jika kita berjalan di atas lahar pula adakah tahap melecur kita mampu diungkapkan dengan kata-kata? Ya Allah, terlalu peritnya keadaan di masyar ketika itu. :(

Ke manakah kita semua akan lari untuk menyelamatkan diri? Jika dahulu di dunia, kita masih boleh berlari ke sana sini tatkala malapetaka Allah singgah di tempat kaki kita berpijak. Tapi, di sana kelak masih adakah tempat untuk kita bersembunyi? Nasib kita tiada yg tahu melainkan DIA Yang Maha Berkuasa. Lalu untuk apa kita mendabik dada dengan apa yg kita ada hari ini? Sebanyak mana bekal yg di bawa, seperti itulah juga keadaan kita di masyar. Pada hari itu, insan yg paling kita sayang pun tidak dapat menyelamatkan kita. Masing-masing terlalu gusar dan bimbang dengan diri sendiri hingga tidak sempat menoleh ke kanan dan ke kiri melihat keadaan orang lain. Bagi yg meraung, akan terus meraung kerana tiada ihsan mahupun simpati dapat dihulurkan. Bagi yg menangis akan terus menangis kerana tiada tangan yg sudi mengesat air mata keperitan yg mengalir.

Apalah nasibku di sana kelak?? :(
Renungilah dan berfikirlah sejenak tentang nasib kita di sana.

p/s:~ 2012 tahun yg digembar-gemburkan akan berlakunya kiamat. tiada satu jasad yg tahu kebenarannya melainkan Allah Yg Esa



thanks for visiting my site

1 Orang Comel/Kacak Berkata: