Menangislah....
Detik waktu bersama kelahiran seorang bayi dihiasi tangisan. Nyaring berkumandang menyayingi segala suara yang menyapa telinga ibu.Lonjak hatinya memuncak gembira penawar sakit dan lesu. Lalu bermulalah sebuah kehidupan yang mewarnai bumi berpenakan hati, berdakwatkan air mata.
Air mata adakalanya penyubur hati, penawar duka. Adakalanya buih kekecewaan yang menyempit perasaan, menyesak kehidupan. Air mata seorang manusia hanyalah umpama air kotor diperlimpahan. Namun setitis air mata kerana takutkan ALLAH persis permata indahnya gemerlapan. Penghuni Syurga ialah mereka yang banyak dukacitanya di dunia.
Tidak berkumpul dua perkara dalam satu masa. Barangsiapa gembira di dunia akan berdukacita di akhirat. Barangsiapa yang banyak dukacitanya di dunia akan gembira di akhirat.
Pencinta dunia menangis kerana dunia yang hilang. Perindu akhirat menangis kerana dunia yang datang.
Alangkah sempitnya kuburku, keluh seorang Abid.
Alangkah sedikitnya hartaku, kesal si hartawan.
Dari mata yang mengintai setiap kemewahan yang mulus penuh rakus, mengalirlah air kecewa kegagalan. Dari mata yang redup merenung Hari Akhirat yang dirasakan dekat, mengalirlah air mata insaf mengharap kemenangan.
"Penghuni Syurga itulah orang-orang yang menang."
(Al Hasyr: 20)
Tangisan adalah basahan hidup. Justeru, hidup dimulakan dengan tangisan, dicelahi oleh tangisan dan di akhiri dengan tangisan.
Manusia sentiasa dalam dua tangisan. Sama ada yang membawa untung atau merugikan.
Nabi S.A.W bersabda, “Tidak ada yang lebih dicintai oleh Allah selain dua jenis titisan dan dua bekas [pada tubuh]; iaitu titisan air mata kerana perasaan takut kepada Allah, dan titisan darah yang mengalir kerana berjihad di jalan Allah. Adapun dua bekas itu adalah; bekas/luka pada tubuh yang terjadi akibat bertempur di jalan Allah dan bekas pada tubuh yang terjadi kerana mengerjakan salah satu kewajipan yang diberikan oleh Allah.”(Tirmidzi disahihkan oleh Syeikh al-Albani)
"Dan bahawasanya DIAlah yang menjadikan orang tertawa
dan menangis." (An Najm: 43)
thanks for visiting my site










0 Orang Comel/Kacak Berkata:
Post a Comment